Antara Tokoh-Tokoh Negara
1. TUNKU ABDUL
RAHMAN PUTRA
Ibarat kata pepatah Melayu ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia
mati meninggalkan nama”. Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk
mengenang jasa dan sumbangan negarawan
ulung Tunku Abdul Rahman Putra.
Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang
berwibawa dalam pelbagai bidang, seorang pejuang yang berjiwa kental dan
mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari
cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO
melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka, mengatur strategi
pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah
membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman
melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat
kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu
merasa terhutang budi kepada Tunku – Bapa Kemerdekaan.
Tunku Abdul Rahman
2. TUN SIR HENRY
H.S LEE
Ketokohan, pengorbanan dan jasa Tun Sir Henry H.S. Lee dalam
mencapai perpaduan kaum dan kemerdekaan negara amat terserlah dan perlu
dikenang selama-lamanya. Beliau memainkan peranan yang penting dalam penubuhan
MCA, perancang utama penubuhan perikatan UMNO-MCA, penentang komunis di zaman
darurat dan merupakan pejuang negara semasa menuntut Kemerdekaan Malaya.
Apabila Malaya merdeka, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan antara
tahun 1957 hingga 1959. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau telah menjadi
salah satu kebanggaan negara.
3. TUN V.T.
SAMBANTHAN
Tun V.T. Sambanthan merupakan seorang pejuang daripada
masyarakat India yang dilahirkan pada 16 Jun 1919 di kawasan pedalaman di
Sungai Siput, Perak. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik menjadi
Presiden Kongres India Malaya ketika berusia 36 tahun. Kemudian Tun V.T.
Sambanthan dilantik menjadi menteri penuh dalam pelbagai kementerian. Sepanjang
tempoh menjadi menteri kabinet begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh
Tun V.T. Sambanthan terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang
kaum dan dari segi kemudahan kepada rakyat serta semangat patriotisme pada masa
itu.
4. RENTAP
Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal
dalam sejarah Sarawak. Pada tahun 1853, beliau merupakan salah seorang pemimpin
penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke. Rentap atau nama sebenarnya
Libau menjadi ketua pahlawan Iban di Skrang dan Sariba. Gelaran Rentap yang
bermaksud Ensumbar dalam bahasa Iban atau membuat dunia bergegar diberikan
kepada Libau selepas beliau memenggal kepala musuh dalam perang pertamanya.
"Agi idup agi ngelaban"
Rentap
5. MAT SALLEH
Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat
Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat
kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang
pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan
Julai 1897. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai
pemberontakan selama enam tahun menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada
pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi
rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.
Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas
yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke
paras dada adalah seorang pahlawan Melayu yang terkenal di Kelantan. Dilahirkan
pada 1853, beliau ialah seorang penentang penjajahan British semasa menentang
pengenaan cukai oleh pihak British di Kelantan. Beliau juga merupakan tokoh
agama Islam yang berjaya menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.
7. MAT KILAU
Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam
Rasu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau
Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau amat mahir di dalam ilmu kebatinan,
persilatan dan bermain senjata. Beliau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin
dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat
disegani dan dihormati oleh penduduk negeri Pahang. Segala cabaran yang berjaya
dilalui oleh Mat Kilau semasa menentang pihak British membuatkan pelbagai pihak
menyanjung tinggi kepahlawanan beliau.
Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam ialah
seorang pembesar kelapan Perak yang berketurunan Daeng Salili. Beliau adalah
anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan
Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti
serta dianugerahkan gelaran “Dato’ Maharaja Lela Tan Lela”, dengan kuasa boleh
memancung tanpa bertanya. Pandak Lam kemudian mengetuai perjuangan menentang
British di Perak dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird
Birch (J.W.W. Birch), Residen British Perak
.
9. ANTANOM
Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum
menentang penjajah pada tahun 1915. Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan
“Masinpunon” sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30
tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. Antanom adalah anak keturunan Suku
Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia
dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan
oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali
dengan istilah ” Pengayau “.
Didikan yang diterimanya ialah mengenal
kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang
kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya
supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya.
Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan
tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan
tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan
mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah
memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh
keazaman.
Antanom dikagumi bukan saja kerana
kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi
lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda
sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom
mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu.
Faktor yang menyebabkan tercetusnya
penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab
yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang
Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya
terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera
waktu.
Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut
terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka
dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil
hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan
Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah
yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai
kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini
pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan
bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu.
Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun
1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai
Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat
kegiatan memburu kepala. Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari
beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah
Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Dalam pertempuran di
kubu induk mereka, Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat
untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal
kepalanya.
10. HAJI ABDUL RAHMAN ABDUL HAMID
Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih
terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah
satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu.
Selain memimpin gerakan yang dikenali
sebagai “Pemberontakan Tani Terengganu”, Tok Limbong juga terkenal sebagai
seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang
berjaya dan seorang petani yang gigih.
Beliau juga pernah tampil untuk membela
sekumpulan pejuang yang dilabel Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka
raja. Tok Limbong mendalami ilmu keagamaan selepas dihantar oleh keluarganya ke
Mekah.
Sebelum terbabit dengan kebangkitan
penduduk menentang British, Tok Limbong yang dilahirkan sekitar 1880-an di
Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu, meluangkan sebahagian besar masanya
mengendalikan perniagaan di pesisiran Laut China Selatan dan mengajar agama di
beberapa tempat, termasuk di sebuah surau di Kampung Kubang Kurus, dekat Kuala
Terengganu.
Walaupun surau berkenaan tidak lagi wujud,
penduduk setempat mengabadikan sebuah perigi lama di sebelah bekas tapak surau
itu dengan nama “Telaga Limbong” kerana air perigi itulah digunakan Tok Limbong
untuk bersuci diri setiap kali berada di kampung itu.
Pembabitan Tok Limbong dalam penentangan
terhadap penjajah bermula apabila beberapa peraturan berhubung pemungutan hasil
mahsul tanah dan hutan dikuatkuasakan oleh Sultan Terengganu di bawah tekanan
Inggeris di Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun pada sekitar 1921.
Di bawah peraturan itu rakyat ditegah
menerokai tanah untuk tujuan pertanian dan dikehendaki memiliki pas atau lesen
untuk mengambil daun mengkuang untuk membuat tikar, daun lerek dan buluh untuk
membuat lemang, daun palas untuk membuat ketupat dan menebang sagu untuk
patinya.
11. TOK GAJAH
Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan
Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku
pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh
yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang
penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala
tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai
semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar
Inggeris yang lengkap bersenjata.
Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah
diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang
Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba
dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat
peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang
Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.
Golongan ketiga di negeri Pahang yang
menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu
dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan
istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada
kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan.
Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan
dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai
pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris.
Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu
Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai
dari Pulau Tawar.